Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tujuh lagi individu ditahan menjadikan keseluruhan tangkapan 19 orang setakat ini bagi membantu siasatan kejadian ahli perniagaan dan pengawal peribadi ditembak di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, dekat sini, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, mereka yang ditahan ini kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kita masih menyiasat motif kejadian ini dan akan diberitahu kemudian selepas siasatan selesai.

"Latar belakang individu yang ditahan juga masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok.

Dalam kejadian 12.45 tengah hari itu, dua lelaki berkenaan dipercayai ditembak oleh dua individu yang menaiki sebuah motosikal.

Susulan itu, 12 individu dipercayai ahli kongsi gelap Geng 21 berusia antara 26 hingga 36 tahun ditahan dalam operasi khas di sekitar Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Telok Panglima Garang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman dilaporkan berkata, lima kesan tembakan mengenai pengawal peribadi yang diserang dua lelaki bermotosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, di sini.

Kesan tembakan itu ditemui hasil pemeriksaan doktor ke atas mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini.

Seorang lagi individu yang juga majikan kepada pengawal peribadi itu pula terkena dua das tembakan masing-masing di bahagian lengan kiri dan rusuk kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 3:35 PM