DR Mahyuddin.
DR Mahyuddin.
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Meluangkan lebih banyak masa dengan membaca dan menyelami maksud ayat al-Quran antara kaedah terapi bagi umat Islam mencari ketenangan atau kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Malah umat Islam digalakkan memanfaatkan masa terluang dengan membaca kitab suci itu dan khatam al-Quran dalam tempoh 30 hari Ramadan.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Mahyuddin Ismail berkata, kaedah paling mudah untuk khatam al-Quran adalah dengan membaca dua muka surat kitab suci itu sebelum dan selepas solat wajib lima waktu.

“Baca satu muka surat sebelum solat manakala satu lagi selepas selesai solat. Jika lima kali sehari sudah memadai 10 muka surat al-Quran.

“Jika dilakukan secara konsisten pasti boleh khatam Quran di penghujung Ramadan. Tetapi bagi mereka yang mahu khatam dua kali hendaklah digandakan bacaan selepas solat waktu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, Ramadan menjadi saksi banyak peristiwa penting bagi umat Islam antaranya Nuzul al-Quran iaitu malaikat Jibril menurunkan ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW.

“Ulama mempunyai pelbagai pandangan mengenai peristiwa Nuzul al-Quran yang bermaksud turun atau berpindah dari atas ke bawah itu yang berlaku pada malam 17 Ramadan ketika Rasulullah SAW sedang beribadat di Gua Hira’.

“Mengingati tarikh penurunan al-Quran menerusi sambutan Nuzul al-Quran secara tidak langsung menjadi tanda kecintaan terhadap kitab agung yang menjadi panduan atau manual kehidupan umat Islam sehingga hari ini. Berikutan itu, kita digalakkan membaca al-Quran sepanjang Ramadan,” katanya.

Mahyuddin berkata, umat Islam perlu menjauhi perkara sia-sia, membuang masa dan juga mengumpat yang boleh mencacatkan ibadat puasa mereka.

“Kalau mahu menguruskan masa untuk beribadat sepanjang Ramadan, kita perlu memperbetulkan niat dan melakukan semua perkara kerana Allah SWT semata-mata.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, umat Islam perlu memperbaiki niat kerana tanpa niat ia tidak dikira sebagai ibadat dan menjadi adat kebiasaan saja.

“Mempersiapkan niat untuk Ramadan hanya kerana Allah jika hati terfokus hanya untuk mencari keredaan Allah maka amal perbuatannya selepas itu menjurus kepadanya juga,” katanya menerusi laman web rasmi mufti berkenaan.

Amalan yang menghidupkan Ramadan

• Sedekah

• Membaca al-Quran

• Memberi makan orang berpuasa

• Qiamullail

• Solat Terawih

• Mengerjakan umrah

• Zakat Fitrah

• Iktikaf di masjid

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 9:55 AM