Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri Kedah menafikan terdapat kerenah birokrasi dalam proses pengagihan bantuan makanan di Kota Setar dan Tongkang Yard, Seberang Perak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dan Secara Bersasar.

Menteri Besarnya Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua bantuan disalurkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita tahu ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menggambarkan kerajaan kita ini lambat beri bantuan, (tapi) takkanlah hari ini kerajaan umum PKPD, esok bekalan makanan di rumah penduduk sudah habis. Jika mahu buat isu pun perlu ikut logik juga.

"Begitu juga dengan proses pengagihan, kita usahakan untuk agih secepat mungkin dan dalam masa yang sama mengikut SOP ditetapkan, kita tak boleh agih begitu sahaja, ada langkah-langkah efisien yang perlu diikut agar bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan sumbangan wang tunai RM200 masing-masing kepada 88 keluarga di Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak di Pusat Kawalan Operasi Bencana di sini, hari ini.

Gambar hiasan. FOTO Bernama.
Gambar hiasan. FOTO Bernama.

Bantuan itu diserah kepada Pegawai Daerah Kota Setar Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman sebelum diagihkan kepada penghuni rumah pangsa berkenaan menerusi anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya tidak akan tunduk kepada desakan segelintir pihak yang mahu menunjukkan kelemahan kerajaan negeri kononnya lambat bertindak untuk mengekang penularan Covid-19 di negeri itu.

Katanya, beliau yakin rakyat memahami bahawa hanya Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengumumkan PKPD dan agensi di bawahnya selaku penggerak.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, 8,291 bungkusan makanan sudah diagihkan kepada penduduk yang terjejas di Kota Setar dan mengucapkan terima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 1:41 PM