GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu lagi kluster baharu terpencil di Johor membabitkan kru kapal yang berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama dikesan bagi kluster itu ialah kes ke-10,572 membabitkan kru kapal warga Indonesia.

"Beliau didapati sign-on di Singapura pada 10 September lalu. Kes mula bergejala demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah sejak 13 September namun tidak memaklumkan kepada majikan.

"Beliau sign-off pada 17 September dan hanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 22 September lalu sebelum dirujuk ke Hospital Permai, Johor dan didapati positif Covid-19 pada 23 September sebelum dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil saringan kru kapal yang lain mendapati satu lagi kes positif yang juga warga Indonesia.

"Kes positif kedua ini tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom. Seramai 30 kru kapal yang bertugas dalam kapal ini disaring.

"Daripada jumlah itu dua kes dikesan positif Covid-19, 24 individu adalah negatif dan empat individu masih menunggu keputusan," katanya.

Menurutnya, langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman dijalankan di kapal berkenaan.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 6:32 PM