POKOK yang tumbang dalam kejadian angin kencang petang tadi menghempap sebuah kereta di sekitar daerah ini. FOTO IHSAN BOMBA
POKOK yang tumbang dalam kejadian angin kencang petang tadi menghempap sebuah kereta di sekitar daerah ini. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Beberapa rumah dan kenderaan di sekitar daerah ini rosak selepas dihempap pokok yang tumbang akibat ribut, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, setakat 6.30 petang operasi membersihkan kawasan terjejas masih dilakukan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.35 petang dan sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Sabri Ahmad dikerah ke lokasi.

"Kerja-kerja memotong dahan selain mengalihkan pokok yang merintangi jalan dilakukan secepat mungkin," katanya, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat kemalangan jiwa atau kecederaan susulan ribut.

Katanya, operasi turut dibantu kakitangan Majlis Perbandaran Kubang Pasu dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya.

"Orang ramai dinasihat supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 7:20 PM