GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Seorang penganggur dipercayai maut akibat terhidu asap kebakaran dalam kejadian di tingkat atas rumah kedai, di Taman Melewati, Skudai, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa berusia 29 tahun itu didapati maut dalam keadaan terlentang dengan kesan terbakar di bahagian lengan kanan dan pipi kanannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu berlaku di rumah kedai dua tingkat dengan bahagian bawahnya adalah kedai membuat perabot.

Katanya, tingkat atas rumah kedai itu dijadikan ruang pejabat dan juga tempat tidur yang didiami mangsa dan teman sebiliknya berusia 49 tahun.

"Kejadian itu disedari rakan sebilik mangsa yang ternampak asap keluar melalui celah pintu bilik diduduki mereka apabila dia naik ke atas rumah kedai berkenaan.

"Teman sebilik mangsa cuba memasuki bilik itu namun berkunci sebelum dia turun semula dan memanggil mangsa dari luar. Ketika itu, dia ternampak mangsa menutup tingkap bilik berkenaan.

"Teman sebilik mangsa menghubungi pemilik rumah kedai itu yang juga bapa saudara mangsa yang kemudian memecah pintu bilik berkenaan namun terpaksa menyelamatkan diri berikutan asap yang tebal," katanya dalam kenyataan,hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudian memadamkan kebakaran sebelum mendapati hanya sofa dan kerusi plastik yang musnah.

Katanya, menerusi siasatan awal, mangsa sudah dua bulan tidak bekerja.

"Sebelum ini, mangsa bekerja dengan bapa saudaranya membuat perabot di tingkat bawah.

"Bapa saudaranya juga memaklumkan mangsa adalah seorang penagih dadah dan sudah setahun bercerai dengan isteri dan mempunyai dua orang anak," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 5:18 PM