Oleh Dang Setia

Saya mempunyai rakan serumah berusia 24 tahun. Meskipun usianya menginjak pertengahan 20-an, dia tidak pandai menguruskan diri.

Masalahnya, kami menyewa bersama satu bilik. Dia sering menimbun pakaian kotornya di tilam saya. Rumah sewa kami lengkap dengan perabot setelah penyewa lama meninggalkan katil dan almari di rumah kami.

Masalahnya, katil saya di tingkat bawah sering menjadi tempat dia meletak barang, termasuk baju kotornya. Saya pernah menegur perbuatannya namun akibatnya kami bermasam muka.

Saya tidak meninggikan suara, sebaliknya bercakap dengan elok mengenai sikap pengotornya. Saya hairan kenapa dia tidak letakkan baju di atas tilamnya?

Saya malas memanjangkan hal remeh itu, tetapi memikirkan baju kotornya bertimbun atas katil setiap kali saya pulang untuk berehat, tentu saya geram.

Saya bosan berdepan rakan sebilik pengotor.

JUNI

Klang, Selangor

Kebersihan separuh daripada iman dan sewajarnya amalan kebersihan harus dipupuk. Banyak manfaatnya mementingkan kebersihan seperti mana diunjurkan Islam. Bukan saja untuk kesihatan diri, malah jika dipandang hikmah di sebaliknya, ia dapat memelihara ukhwah mahupun hubungan dengan orang sekitar.

Dalam situasi saudari, ini satu contohnya. Sikap pengotor rakan serumah mengundang rasa kurang senang sehingga saudari bertegang urat dengannya. Jadi saudari harus menangani isu mengenai sikapnya meninggalkan pakaian kotor atas tilam saudari secara diplomasi.

Padanya, mungkin cara saudari menegur adalah kasar. Maksudnya, kaedah serta penggunaan ayat dilihat terlalu 'lantang' mengkritik menyebabkan teman sebilik tersinggung. Lantaran itu, cuba kaedah memujuk biarpun dalam situasi ini saudari kelihatan mengalah.

Saudari sedia maklum hala tuju teguran andai teman saudari menitipnya, iaitu ibarat 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'. Tiada penyelesaian dan untuk itu beralahlah untuk hidup sebilik dengan lebih harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:15 AM