Suasana Pilihan Negeri (PRN) meriah dengan perang bendera di Kampung Likas. FOTO ASWADI ALIAS
Suasana Pilihan Negeri (PRN) meriah dengan perang bendera di Kampung Likas. FOTO ASWADI ALIAS
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan semua aset bagi mengelak kemungkinan berlaku kekacauan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, langkah itu dilaksanakan sebagai persediaan awal berikutan pihaknya mendapat maklumat berkenaan adanya kemasukan secara besar-besaran dari negara jiran.

Katanya, pasukan keselamatan akan berusaha menghalang kemasukan itu bagi memastikan kelancaran PRN selain memastikan ketenteraman Sabah tetap terpelihara.

"Aset-aset di perairan kita juga akan digerakkan ke tahap maksimum bagi menjalankan rondaan di sempadan selain menggabungkan kerjasama Op Benteng dengan agensi lain termasuk ATM (Angkatan Tentera Malaysia) serta Jabatan Imigresen," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Menurutnya, kerjasama itu juga bagi meningkatkan kawalan keselamatan ketika PRN Sabah.

Setakat ini katanya, polis dan ATM giat menjalankan kawalan di 96 pos sempadan laut dan darat di pantai timur serta Kalimantan.

"Kita akan menjalankan rondaan jarak dekat dan jauh bagi mengesan lorong tikus serta lorong gajah (laluan haram) di sepanjang sempadan negara," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga sedia maklum situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara seratus peratus di negeri ini terutama dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (Pati) di pantai timur Sabah.

"Saya juga sudah berhubung dengan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi menghalang kemasukan Pati ke pantai timur Sabah dan sempadan Sabah di Kalimantan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 7:13 PM