Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) beramah mesra dengan pegawai SPR ketika tinjauan pengundian awal Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS.
Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah) beramah mesra dengan pegawai SPR ketika tinjauan pengundian awal Ibu Pejabat Kontinjen Sabah sempena PRN Sabah 2020. FOTO ASWADI ALIAS.
Ekhwan Haque Fazlul Haque da Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis kini sedang memantau individu memiliki dua kerakyatan yang dikatakan menjadi kumpulan yang akan masuk secara besar-besaran dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, berdasarkan risikan polis, kumpulan ini yang sebelum ini pulang ke negara asal akan masuk ke Sabah untuk mengundi.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak sesekali berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas sekiranya kumpulan ini ditahan.

"Polis tahu ada individu yang memiliki dua kerakyatan dan dikatakan akan masuk secara besar-besaran untuk mengundi.

"Saya beri amaran jangan ganggu proses pilihan raya ini dan jangan ada pihak yang cuba buat kacau proses demokrasi ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan proses pengundian awal di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, risikan juga mendapati kumpulan yang memiliki dua kerakyatan ini dikatakan berada pantai timur Sabah dan sekitar negeri ini.

Sebelum ini, polis mendedahkan terdapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikatakan akan membuat kekacauan dalam PRN Sabah, Sabtu ini.

Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menggerakkan aset di semua 96 pos sempadan laut dan darat bagi menghalang kemasukan PATI.

Sabtu ini, seramai 1.1 juta rakyat Sabah akan menunaikan tanggungjawab dalam PRN Sabah ke-16.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 11:33 AM