LAPORAN Portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mempunyai peruntukan bagi menggantikan 18 unit lif di kawasan Perumahan Awam Sri Sabah di sini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara berkata, sebahagian lif di lokasi itu sudah berusia lebih 15 tahun dan perlu diganti bagi mengelak kemalangan.

"Ketika ini, semua lif masih berfungsi dalam keadaan baik dan ada beberapa unit yang dalam proses penyelenggaraan.

"Statusnya kini berada di peringkat akhir sebelum tender diiklankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan 2021," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program 'We Care, We Serve, We Hope' di Pusat Komuniti Gombak, hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamarudin.

Santhara berkata, sehari sebelum kejadian yang mengorbankan seorang lelaki 2 September lalu, beliau melawat kawasan berkenaan dan bertemu dengan jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) Perumahan Awam Sri Sabah.

"Syarikat penyelenggaraan turut hadir dan menunjukkan data-data yang berkaitan dengan masalah lif di kawasan itu.

"Beberapa aduan turut diberikan dan semakan mendapati lif di kawasan itu rosak dalam beberapa jam dan kemudian dibaiki," katanya.

Sementara itu, ditanya kejadian terbaru lif terhempas di Blok 28, Rumah Pangsa Taman Batu Permai, Jinjang di sini, semalam, katanya, ia milik swasta dan bukan di bawah tanggungjawab DBKL.

"Ia bukan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan mereka mempunyai JMB untuk menguruskan apa jua masalah berkaitan dengan perumahan itu.

"Berkaitan dengan insiden lif terhempas semalam, pihak polis menjalankan siasatan dan agensi yang berkaitan turut akan menjalankan pemeriksaan bagi mencari punca kejadian," katanya.

Terdahulu, seorang lelaki dan dua kanak-kanak cedera selepas lif di Blok 28, Rumah Pangsa Taman Batu Permai, Jinjang yang dinaiki mereka terhempas dipercayai akibat mengalami kerosakan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 6:59 PM