Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) melancarkan Gerbang Sabah di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) melancarkan Gerbang Sabah di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Perdana Menteri menjelaskan Sabah adalah penerima terbesar pembangunan infrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (Jendela) dengan anggaran kos RM2.45 bilion bagi meningkatkan kemudahan jalur lebar di negeri itu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bakal menjadikan kemudahan jalur lebar untuk seluruh penduduk di Sabah setanding dengan kemudahan yang disediakan di negeri lain.

Dengan pelaksanaan inisiatif Jendela, katanya, rakyat di Sabah akan mendapat capaian jalur lebar yang lebih meluas bermula pada penghujung tahun ini sehingga 2022.

"Sejumlah 419 menara baharu akan dibina dan 1,972 pemancar sedia ada akan dinaikkan taraf kepada 4G. Di samping itu, liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan yang membabitkan 251,166 premis di seluruh negeri Sabah.

"Inisiatif Jendela di Sabah dianggarkan membabitkan kos sebanyak RM2.45 bilion," katanya pada Majlis Pelancaran Gerbang Sabah, di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengerusi Telekom Malaysia Berhad Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Muhyiddin berkata, peningkatan kemudahan jalur lebar di negeri ini diharap dapat dimanfaatkan untuk memajukan kehidupan dan memakmurkan Sabah.

Beliau percaya masih ada rakyat yang memerlukan bimbingan untuk menjadi warga digital yang produktif, justeru kerajaan menerusi MCMC menyediakan 133 Pusat Internet Komuniti untuk memberi bimbingan digital kepada rakyat di Sabah.

"Antara bimbingan yang akan diberikan ialah bagaimana untuk menjana pendapatan menerusi e-dagang, iaitu urusan jual beli dalam talian.

"Menerusi internet, sesiapa sahaja boleh berniaga dari mana-mana lokasi. Bahkan ada yang berniaga tanpa memiliki barang sendiri, iaitu melalui kaedah dropship," katanya.

Katanya, Pusat Internet Komuniti sedia ada pula akan menjalani proses perubahan dengan peruntukan RM13 juta.

Pusat itu, katanya, akan diperkasa agar menjadi tempat untuk membangunkan kemahiran penggunaan internet dan e-dagang, selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu hasil peningkatan aktiviti e-dagang serta menyediakan lebih banyak perkhidmatan atas talian bagi memudahkan rakyat setempat.

Gerbang Sabah yang dilancarkan malam ini adalah titik sambungan internet di antara Sabah dan seluruh dunia yang akan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 9:13 PM