GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sedang memperkasakan fungsi 1,064 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara sebagai pusat transformasi digital untuk masyarakat setempat dengan menjadikan golongan belia sebagai sasaran utama.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini berkata, selain memberi latihan kemahiran asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pelbagai golongan, PIK kini mampu menyediakan latihan lebih canggih.

Antaranya ialah pengaturcaraan, aplikasi robotik, penciptaan aplikasi mudah alih, keusahawanan e-dagang, animasi, penerbitan video, pencetakan tiga dimensi dan latihan-latihan lain yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia untuk menambah kemahiran dan mencipta inovasi.

"Kemudahan dan pelbagai program yang disediakan ini diharap dapat merangsang golongan belia melengkapkan diri dengan pengetahuan digital yang sofistikated untuk bersaing membina masa hadapan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan bahawa tinjauan SKMM mengenai penggunaan perkhidmatan jalur lebar pada 2018 mendapati 67.8 peratus atau 19.5 juta daripada 28.7 juta pengguna Internet di negara ini adalah golongan belia.

Daripada jumlah itu, 80.9 peratus atau 16.6 juta belia terbabit dengan aktiviti e-dagang manakala 78.4 peratus menggunakan Internet antara satu hingga 12 jam setiap hari.

"Tinjauan ini juga menunjukkan kecenderungan golongan belia menggunakan Internet sebagai platform utama untuk mencari pekerjaan, bermain permainan dalam talian, mendapatkan hiburan, berkomunikasi dan mencari maklumat," menurut SKMM.

Sementara itu, SKMM memaklumkan bahawa penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam negara menyambut baik saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 September lalu supaya golongan belia diberikan pengetahuan yang mencukupi dan peluang yang luas untuk mencetuskan inovasi dan idea baharu pada era ekonomi digital.

Menurut SKMM, pakej langganan yang disediakan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, seperti Celcom, Maxis, Digi, U Mobile dan Telekom Malaysia, mengambil kira keperluan belia terhadap capaian jalur lebar yang murah dan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 3:12 PM