Pegawai KPDNHEP mengambil keterangan pekerja premis makanan di Manjung yang menggunakan ayat al-Quran sebagai representasi takrif halal hari ini. Foto Ihsna KPDNHEP
Pegawai KPDNHEP mengambil keterangan pekerja premis makanan di Manjung yang menggunakan ayat al-Quran sebagai representasi takrif halal hari ini. Foto Ihsna KPDNHEP
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Sebuah premis makanan di Seri Manjung di sini, dikesan menggunakan ayat al-Quran sebagai representasi takrif halal sehingga mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.

Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung menerima aduan itu daripada orang awam sebelum pemeriksaan dijalankan pada 11 pagi hari ini.

Ketua KPDNHEP Manjung Wan Muhammad Badro Wan Mahmood berkata, tindakan itu sebagai dorongan bahawa makanan di premis itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati pemilik premis itu adalah warga tempatan dan sudah beroperasi selama tiga tahun.

"Pemiliknya gagal menunjukkan perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam yang melayakkan premis perniagaan ini menggunakan representasi ayat-ayat al-Quran di dalam premis.

"Susulan itu, pemilik premis ditahan untuk diambil keterangan dan beberapa barangan terbabit disita untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Katanya, KPDNHEP Manjung memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan perbahasan halal ke atas premis dan barang makanan dan perkhidmatan keluaran mereka.

"Pengusaha restoran atau syarikat digesa supaya berhati-hati dalam menggunakan perbahasan halal dan perlu memastikan setiap makanan atau barang keluaran mereka hanya menggunakan perakuan perihal halal dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa.

"Selain itu, ia ditanda dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 8:28 PM