MOHD Ali (kiri) turut serta dalam kerja baik pulih rumah di Taman Bukit Piatu Mutiara.
MOHD Ali (kiri) turut serta dalam kerja baik pulih rumah di Taman Bukit Piatu Mutiara.
Shaiffulazhar Misri


Melaka:Perasaan ceria jelas terpancar pada wajah warga emas Mad Sah Akop, 81, selepas bumbung dan dinding rumahnya yang rosak teruk akibat serangan anai-anai dibaiki, menerusi Program Baik Pulih Secara Gotong-Royong Peringkat Parlimen Bukti Katil, semalam.

Mad Sah kini tidak boleh bekerja berikutan masalah kesihatan tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelakinya Mohd Nor Mad Sah, 41, yang mengambil upah melakukan kerja kampung.

“Rumah berusia 27 tahun inilah tempat saya dan anak berteduh, memang gembira apabila ada pihak prihatin dengan nasib kami membantu baiki kerosakan.

“Jika diikutkan, ada kekurangan lain seperti rumah kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat, tetapi bantuan hari ini (semalam) cukup menggembirakan saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak berhampiran Taman Bukit Piatu Mutiara, Bukit Katil, di sini, semalam.

Rumah dua beranak itu dibaiki menggunakan peruntukan Program Dana khas Touch Point, yang dilakukan secara gotong-royong dan turut dihadiri Pengerusi Penyelaras Parlimen Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali berkata, menerusi Program Dana khas Touch Point tahun ini Parlimen Bukit Katil, menerima peruntukan RM100,000 yang akan digunakan untuk membaik pulih kediaman uzur dan mengalami kerosakan akibat bencana.

“Setakat ini kami sudah kenal pasti 10 rumah untuk dibaik pulih dengan anggaran kos antara RM5,000 hingga RM10,000 setiap sebuah, diharapkan program ini membantu meningkatkan lagi kualiti hidup golongan sasar berkenaan.

“Proses membaik pulih dilakukan secara gotong-royong untuk memupuk semangat kerjasama selain menjimatkan kos dan masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 5:10 AM