MENTERI Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) ketika melawat Sungai Ichat. FOTO MOHD RAFI MAMAT
MENTERI Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) ketika melawat Sungai Ichat. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Asrol Awang


Kuantan: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan kualiti sumber air di Sungai Ichat, Cameron Highlands yang tercemar sebelum ini kini kembali kepada Kelas I.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, ia selamat untuk digunakan sebagai sumber air mentah tambahan bagi pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla.

"LRA Kuala Terla adalah loji air terbesar di Cameron Highlands yang membekalkan air bersih hampir 70 peratus kawasan dan pengguna di daerah itu.

"Dengan pemulihan sumber air Sungai Ichat, sumber air tambahan ini dapat diguna dan dimanfaatkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Saiful Zaini berkata, bagi membekalkan air mentah tambahan di LRA Kuala Terla, PAIP sedang menyiapkan pembinaan muka sauk baharu Sungai Ichat.

Katanya, dengan pembinaan muka sauk itu, ia akan meningkatkan kapasiti pembekalan air terawat LRA Kuala Terla kepada tambahan hampir 50 peratus bagi menjamin bekalan yang konsisten dan selamat kepada pengguna.

"Kerja-kerja awal sudah dilaksanakan oleh kontraktor dan muka sauk yang baharu dijangka siap dalam tempoh 10 minggu," katanya.

Selain itu, PAIP turut memuji keprihatinan dan tindakan tegas Kerajaan Pahang menangani masalah pencemaran air di sungai berkenaan akibat penerokaan tanah haram di sekitar kawasan tadahan sungai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 6:32 PM