Hazsyah Abdul Rahman


Sandakan: Barisan Nasional (BN) Sabah memberi amaran akan membuang wakil rakyat jika tidak menjalankan tugas dengan baik selepas dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia bukan ugutan, tetapi jaminan supaya wakil rakyat BN yang dipilih bekerja bersungguh-sungguh dan berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, ada pemimpin yang apabila dipilih menjadi wakil rakyat leka dan lalai sehingga memberi imej buruk kepada parti.

"Ada wakil rakyat apabila dipilih, lupa mereka datang daripada rakyat, mereka leka, lalai dan rakyat terbiar hingga akhirnya parti jadi mangsa.

"Kita tidak mahu disebabkan seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit. Jadi mana-mana wakil rakyat yang tak 'perform' kita minta dia supaya berhenti," katanya ketika ditemui selepas program bersama rakyat di Kampung Bakau di Sandakan, hari ini.

Mengulas mengenai percaturan BN meletakkan calon muda dalam PRN kali ini, Bung Moktar berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira permintaan rakyat selain kebolehan calon.

Katanya, BN menggunakan strategi dengan menampilkan gabungan kepimpinan muda dan lama dengan mengambil kira keperluan untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

"Ada yang mengatakan anak muda mempunyai kekuatan, kebijaksanaan dalam urusan politik, tetapi anak muda saja tidak akan capai kejayaan.

"Ada anak muda gagal yang saya nampak di Dewan Rakyat, mereka boleh bercakap tapi cakap yang tiada impak untuk ekonomi, negara dan rakyat," katanya.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. FOTO Hazsyah Abdul Rahman

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, BN meletakkan hanya anak muda yang berkebolehan dan suaranya didengar oleh semua lapisan masyarakat di kawasan yang ditandingi.

Sementara itu, calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Hazulizah Mohd Dani, berkata beliau mahu memberi fokus untuk memperkasakan pendidikan anak Batu Sapi jika diberi peluang menjadi wakil rakyat di situ, selain menyelesaikan isu rakyat termasuk mewartakan perkampungan atas air, pembangunan dan mangsa kebakaran yang belum mendapat rumah.

Hazulizah yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Sabah menjelaskan ia antara usaha yang dibuat sepanjang menjadi Ketua Puteri UMNO di bahagian itu.

"Terlalu banyak isu di kawasan Batu Sapi yang perlu dikemukakan dan diketengahkan. Insya-Allah, kalau diberi tanggungjawab, saya akan cuba selesaikan masalah dihadapi penduduk setempat," katanya.

Kerusi DUN Sekong menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Hazulizah dan calon daripada Parli Liberal Demokratik (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 3:44 PM