DR ADHAM Baba berucap pada Majlis Pelancaran Wellness Hub Bagan Pinang hari ini. FOTO BERNAMA
DR ADHAM Baba berucap pada Majlis Pelancaran Wellness Hub Bagan Pinang hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil

Port Dickson: Kerajaan akan melakukan ujian saringan Covid-19 lebih ketat terhadap individu yang pulang ke Semenanjung sebaik selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ujian saringan mandatori akan dilakukan sekiranya didapati bergejala.

Menurutnya, bagi yang tidak bergejala pula digalakkan untuk membuat saringan secara sukarela.

"Kita juga akan buat kajian risiko dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pastikan penularan Covid-19 tidak berlaku," katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Welllness Hub Bagan Pinang di sini, hari ini.

Menurutnya, normal baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim juga akan digunakan bagi menghadapi PRN Sabah.

Katanya, penambahbaikan terhadap SOP pengendalian pilihan raya dalam situasi Covid-19 akan dilakukan berasaskan keadaan semasa di Sabah.

"Pihak kementerian sudah mengadakan beberapa kali pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Dua kaedah yang sama akan digunakan di Sabah, peraturan yang perlu diikuti di mana penguatkuasaan dan pemantauan akan dipertingkatkan.

"Sekiranya ada mana-mana individu yang ingkar mungkin akan ada kes yang akan dibawa ke mahkamah atau sebagainya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 4:37 PM