Siti Rohana Idris


Kuala Krai: Dia dijangka hanya mampu hidup sehingga usia dua tahun saja tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya apabila Ibad Muhammad Aqil Rohazeli masih dipanjangkan umur.

Bagaimanapun ahli keluarga Ibad, 9, yang menghidap penyakit buah pinggang tetap bersedia berdepan sebarang kemungkinan kerana nyawanya bila-bila masa boleh 'dijemput Pencipta'.

Bagi ibunya, Takeliima Yusuf, 30, menguruskan anak ketiga dari empat beradik itu setiap hari ibarat 'bom jangka' kerana sentiasa berdepan dengan perkara tidak diduga.

"Ibad kerap diserang sawan serta pengsan secara tiba-tiba dan setiap kali perkara itu berlaku, saya menyangkakan ia adalah saat terakhir saya dapat menatap wajah Ibad.

"Doktor menjangkakan Ibad hanya mampu bertahan sehingga usia dua tahun saja namun dia masih bernafas sehingga kini sekali gus memberi peluang kepada kami untuk menjaganya dengan baik," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Balai, di sini, hari ini.

Mengimbas kembali saat Ibad disahkan menghidap penyakit itu di usia setahun, Takeliima berkata, seluruh anggota anaknya itu kelihatan gatal seakan alergik menyebabkan dia segera merujuk Ibad ke hospital.

Dia berkata, selepas menjalani beberapa rawatan, buah pinggang Ibad didapati bocor disusuli pengesahan buah pinggang kronik yang menyebabkan dia perlu membut rawatan hemodialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) sejak usia empat tahun sehingga kini.

TAKELIIMA menguruskan Ibad yang menghidap penyakit buah pinggang kronik di Kampung Batu Balai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKELIIMA menguruskan Ibad yang menghidap penyakit buah pinggang kronik di Kampung Batu Balai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Bukan hanya itu, Ibad juga turut menghidap beberapa penyakit lain akibat komplikasi buah pinggang yang dialami iaitu tekanan darah tinggi, asma, alergik dan penyakit kulit.

"Ibad tidak disarankan menjalani proses pemindahan buah pinggang disebabkan beberapa komplikasi yang dialaminya kerana ia terlalu berisiko," katanya yang berhenti kerja sebagai pembantu tadika swasta sejak beberapa tahun lalu untuk memberi sepenuh masa terhadap Ibad.

Terdahulu keluarga itu menerima kunjungan daripada kumpulan aktivis masyarakat, Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf diwakili Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan susu khas untuk Ibad sejak beberapa bulan lalu.

Takeliima berkata, Ibad perlu membuat rawatan hemodialisis air setiap enam jam sekali dan dia juga dipasang tiub di hidung sejak beberapa tahun lalu untuk diberi minum susu khas dan ubat.

Bukan hanya Ibad, Takeliima juga diuji dengan seorang lagi anaknya iaitu Muhammad Iyad Thaqif Rohazeli, 5, yang menghidap masalah jantung, penyakit kulit selain kecacatan fizikal di bahagian jari tangan dan kaki.

"Ini ujian buat kami dan selagi mampu, saya dan suami akan terus menjaga mereka terutama Ibad yang memerlukan penjagaan rapi dan kami tidak mahu melepaskan masa walau sesaat darinya," katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian melalui akaun bank Maybank milik Takeliima iaitu 153029203329.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 2:38 PM