MD NASIR HASHIM
MD NASIR HASHIM
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: "Tidak betul," kata Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor, Senator Md Nasir Hashim berhubung khabar angin parti itu ada membincangkan ura-ura untuk meninggalkan gabungan Perikatan Nasional (PN) Johor yang membentuk kerajaan negeri.

Katanya, khabar angin itu sengaja ditularkan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengambil kesempatan.

"Tidak betul. Kami tidak ada membincangkan apa-apa pasal sokongan pada PN Johor. Malah kerjasama kami bersama PAS bertambah baik.

"Tidak ada apa-apa pertemuan di Muar pada hari ini seperti yang ditularkan sebaliknya, BERSATU Johor hanya menganjurkan kursus kesetiausahaan bersama setiausaha bahagian BERSATU Johor di Muar," katanya ketika dihubungi.

Sejak malam tadi, khabar angin BERSATU Johor mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan untuk meninggalkan PN Johor, bertiup kencang sekali gus menyebabkan pelbagai andaian timbul.

Ia termasuk ura-ura akar umbi parti itu didakwa mendesak mahu tindakan balas dengan usul undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dilakukan pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, esok.

Ia susulan kegagalan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dalam undi usul percaya terhadap beliau, semalam.

Dalam undian berkenaan daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Ia ditambah dengan kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian semalam yang dilaporkan berkata, nasib dialami Ahmad Faizal itu menguris perasaan pemimpin dan akar umbi BERSATU di seluruh negara termasuk Johor kerana usul percaya berkenaan gagal mendapat sokongan majoriti ADUN Perak termasuk wakil rakyat UMNO yang membentuk kerajaan negeri itu.

Esok adalah hari terakhir Sidang DUN Johor dengan Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor dijangka menggulung perbahasan Belanjawan Johor 2021 diikuti kelulusan ahli dewan terhadap belanjawan yang dibentangkannya itu.

Dijangkakan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di hari terakhir persidangan DUN Johor esok.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan ketika ini, dengan PN menguasai 29 kerusi dan pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

Sementara itu,Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husain, ketika dihubungi berkata, hubungan parti di dalam PN ketika ini berada dalam keadaan baik.

"Saya amat berharap hubungan baik berkenaan dikekalkan dan tiada tindakan seperti apa yang terjadi di Perak berlaku di Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 1:47 PM