DATUK Seri Rina Mohd Harun semasa ditemu bual mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di KPWKM baru-baru ini.  FOTO Bernama
DATUK Seri Rina Mohd Harun semasa ditemu bual mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di KPWKM baru-baru ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Lahad Datu: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berjuang untuk menaikkan kadar bantuan penerima khususnya pesakit kronik di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, perjuangan itu disambut baik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengusulkan agar kenaikan kadar bantuan sehingga RM1,000 di Sandakan, baru-baru ini.

"Ketika ini secara dasarnya (kenaikan kadar bantuan) sudah dibincangkan dari segi pelaksanaan dan kadarnya itu akan diperhalusi lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Silam yang turut dihadiri Ketua Srikandi Bahagian Bersatu Silam, Mizma Appehdullah, di sini, hari ini.

Rina berkata, kenaikan kadar bantuan berkenaan juga rentetan Perdana Menteri sendiri turun padang termasuk ke Projek Perumahan Rakyat melihat keadaan dihadapi rakyat.

Dalam pada itu, beliau mahu peruntukan untuk kementeriannya pada tahun hadapan ditingkatkan ekoran belanjawan RM2.4 bilion disediakan adalah tidak mencukupi.

"Saya jaga ramai orang walaupun kita bantu berjuta orang, mesti ada lagi yang tercicir ekoran kekangan kewangan," katanya sambil menambah daripada RM2.4 bilion itu sebanyak RM1.5 bilion adalah untuk agihan bantuan kebajikan selama setahun kepada kira-kira 500,000 penerima bantuan di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 5:17 PM