PENYELAM sebelum menjalankan kerja-kerja pembersihan terumbu karang serta sampah sarap sekitar taman marin Miri-Sibuti.  FOTO Ihsan SFC.
PENYELAM sebelum menjalankan kerja-kerja pembersihan terumbu karang serta sampah sarap sekitar taman marin Miri-Sibuti. FOTO Ihsan SFC.
Erika George


TERUMBU karang yang banyak ditemui di sekitar Taman Negara Marin (TNM) Miri-Sibuti di Miri, kini lebih terdedah terhadap ancaman manusia.

Ia susulan tindakan segelintir mereka yang menggunakan pukat tunda dan jaring hantu yang kerap tersangkut serta merosakkan terumbu karang yang berada di dasar lautan.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), Zolkipli Mohamad Aton berkata, dianggarkan lima trilion plastik di dalam laut tahun lalu, dan ia mampu menjejaskan ekosistem marin, sekali gus mencetuskan krisis global yang perlu diambil tindakan segera.

Atas dasar itu, beliau berkata, SFC dan Petronas melaksanakan program mengeluarkan sisa plastik serta sampah sarap pada terumbu karang di sekitar kawasan itu menerusi projek SFC-Petronas Eco-Marine.

Katanya, projek tajaan Petronas itu bertujuan memelihara serta memulihara terumbu karang serta pelbagai hidupan marin yang hidup di sekitarnya.

"Semalam kita turut melakukan pembersihan terumbu karang dan kawasan sekitar taman marin berkenaan.

"Seramai 40 penyelam dari SFC, Jabatan Perikanan, Polis Marin Malaysia, Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Whaleshark Miri, Dive@Borneo, Miri Divers, Future Ocean Borneo dan Kenyalang Underwater terbabit dalam program itu," katanya.

Zolkipli berkata, dalam program berkenaan lima kilogram sampah yang melekat di celah terumbu karang dan terapung di perairan negara dapat dikumpulkan.

Beliau berkata, usaha pembersihan itu amat penting bagi memastikan keindahan terumbu karang serta biodiversiti sekitarnya kekal terpelihara.

TNM Miri-Sibuti yang terletak di sempadan maritim antara Bintulu dan Miri meliputi kawasan seluas 186,930 hektar, adalah taman negara marin terbesar di negeri ini yang terletak kira-kira 30 minit menggunakan bot dari Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 2:07 PM