TEKONG dan empat kru bot nelayan yang ditahan. FOTO Erika George
TEKONG dan empat kru bot nelayan yang ditahan. FOTO Erika George

Erika George

Miri: Seorang tekong dan empat kru sebuah bot nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai menceroboh perairan Taman Marin Sibuti, petang semalam.

Pengarah APMM Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata, kehadiran bot nelayan itu dikesan menjalankan aktiviti mengaut hasil laut kira-kira 10.7 batu nautika dari barat daya Tanjung Lobang pada 3 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota APMM dihantar ke lokasi berkenaan bagi menjalankan siasatan sebelum menahan bot nelayan terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan terbabit dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan bersama-sama empat kru warga Indonesia berusia 26 hingga 62 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua kru termasuk tekong ditahan kerana disyaki menceroboh kawasan taman laut dengan melakukan aktiviti menangkap hasil laut untuk siasatan mengikut Ordinan Taman Negara dan Rezab Semula Jadi 1998," katanya.

Menurutnya, bot bersama kru termasuk peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan seberat 500 kilogram dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri.

Katanya, kes berkenaan diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 3:59 PM