Rumah yang dijadikan maahad tahfiz di Kampung Baru Lepar, Pekan terbakar dalam kejadian pagi hari ini. Foto Mohd Rafi Mamat
Rumah yang dijadikan maahad tahfiz di Kampung Baru Lepar, Pekan terbakar dalam kejadian pagi hari ini. Foto Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

"BAHANG panas dan bunyi cermin tingkap pecah serta bau asap yang kuat mengejut saya daripada tidur sebelum melihat api marak, lalu terus mengejutkan rakan lain untuk menyelamatkan diri," kata Nik Abdul Iaziq Haris, 17.

Dia antara 13 pelajar lelaki berusia 13 hingga 17 tahun di Maahad Tahfiz al-Quran Waddin di Kampung Baru Lepar, Pekan yang terselamat selepas rumah yang dijadikan tempat mereka belajar terbakar pada 4 pagi hari ini.

Kebakaran berkenaan memusnahkan 40 peratus bangunan berkenaan yang terletak di tengah sawah padi itu.

Nik Abdul Iaziq berkata, dia hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dan rakan-rakan kerana api begitu marak dan menghampiri bilik asrama mereka.

Katanya, selepas meninggalkan bilik asrama, beberapa rakan bertindak segera mengejutkan ustaz yang berada di bilik belakang bangunan itu.

"Saya bersyukur kebakaran itu tidak menyebabkan kecederaan pada pelajar serta tenaga pengajar termasuk kakitangan.

"Kemalangan jiwa mungkin berlaku sekiranya semua penghuni asrama tidak terjaga daripada tidur ketika kebakaran berlaku," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Menurutnya, mereka baru seminggu memulakan semula pengajian dan tidak menyangka musibah berlaku dalam sekelip mata.

Sementara itu, timbalan mudir maahad tahfiz berkenaan, Muhammad Izzuadin Ismail, 26, berkata, musibah yang tidak diduga terbabit hadir sebagai ujian kepada mereka.

"Saya difahamkan api bermula dari pejabat pentadbiran sebelum merebak ke bahagian lain, namun kepantasan anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

"Kami reda dengan apa yang berlaku dan menganggap ia sebagai ujian yang pasti ada hikmah, hanya Allah SWT sahaja mengetahuinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 7:30 PM