GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


SEMUA daerah di Negeri Sembilan kini ditakrifkan sebagai zon hijau Covid-19 selepas tiada lagi kes baharu wabak itu dicatatkan sehingga semalam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS), Negeri Sembilan tiada kes baharu Covid-19 yang direkodkan dalam tempoh 14 hari sehingga semalam.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kes Covid-19 kekal sebanyak 1,034 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,026 kes yang sudah sembuh dan discaj, tiada kes yang menerima rawatan di wad dan lapan kes meninggal dunia.

"Tiada kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir), ini bermakna Negeri Sembilan kembali menjadi zon hijau keseluruhannya bermula semalam," katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Katanya, sebanyak 325 kes positif Covid-19 adalah daripada Kluster Pedas, 144 kes Kluster Ijtimak Tabligh di Seri Petaling dan 112 kes Kluster Sendayan dengan satu kematian.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja keras dan berkorban dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, semua daerah dalam Negeri Sembilan sudah diklasifikasikan sebagai zon hijau.

"Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua petugas barisan hadapan yang tidak henti-henti berusaha keras dalam memastikan pandemik ini tidak kembali menular.

"Saya berharap semua rakyat Negeri Sembilan terus mematuhi arahan pihak berkuasa, dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan harian.

"Walaupun Negeri Sembilan disahkan sebagai zon hijau tetapi masyarakat dinasihatkan supaya tidak leka dan alpa dengan situasi semasa," katanya.

Menurutnya, segala arahan yang dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu dipatuhi, bagi memastikan keselamatan serta kesihatan terus terjamin.

"Sama-samalah kita berdoa supaya negara terus bebas daripada wabak pandemik Covid-19 ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 4:59 PM