MAYAT mangsa dihantar ke Jabatan Forensik. FOTO Juwan Riduan
MAYAT mangsa dihantar ke Jabatan Forensik. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


WANITA meninggal dunia di premis di Jalan Tugu, Kampung Air, Kota Kinabalu dipercayai akibat penyakit dihidapinya dan bukan Covid-19.

Terdahulu, rakaman video mayatnya diangkat keluar dari premis itu tular di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, wanita dikenali sebagai Peggy Wong Bik Kee, 37, dikatakan menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan tinggal seorang di tempat kejadian sejak empat tahun lalu.

Katanya, sebaik pintu bilik mangsa dibuka oleh pemilik rumah menggunakan kunci pendua, mangsa didapati terbaring di atas tilam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pasukan paramedik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia pada 1.04 petang.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk ujian Covid-19 sebelum proses bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Habibi meminta orang ramai supaya tidak menularkan video berkenaan dan berhenti membuat spekulasi sementara menunggu laporan perubatan pihak hospital.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 2:31 PM