GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 diburu polis selepas menghilangkan diri ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit diambil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Intan untuk ditempatkan di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, dia yang dibawa bersama lima pesakit lain melarikan diri sebaik dibawa masuk ke hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan yang dibawa ke wad di tingkat 5 diarahkan supaya menunggu di ruang berdekatan lif selepas seorang lagi pesakit dihantar ke wad berhampiran.

Katanya, sebaik kembali pengiring kumpulan pesakit itu mendapati lelaki itu menghilangkan diri.

"Usaha mengesan lelaki terbabit dilakukan di sekitar hospital namun gagal menemukannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki itu dimasukkan ke pusat kuarantin pada 13 November lalu selepas disahkan positif Covid-19.

Katanya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 7:44 PM