FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Omar Ahmad


DUA anggota polis dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini, untuk pendakwaan bersama enam anggota penguat kuasa yang lain.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam Op Pintas Selatan dan Op Benteng, seramai 19 anggota penguat kuasa yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditangkap pada 12 hingga 19 Jun lalu dan disiasat kerana disyaki terbabit dalam jenayah terancang.

"Kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan memutuskan untuk menuduh lapan penguat kuasa yang terdiri daripada enam anggota PDRM dan dua anggota ATM di bawah Seksyen 30W Kanun Keseksaan kerana membantu suatu kumpulan jenayah terancang.

"Bagaimanapun dua anggota PDRM gagal hadir dan waran tangkap dikeluarkan ke atas mereka.

"Seramai 19 anggota penguat kuasa yang ditangkap, enam telah didakwa, dua dikenakan waran tangkap, tujuh lagi untuk tindakan jabatan dan empat masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ayob Khan menasihatkan anggota penguat kuasa pelbagai agensi supaya tidak terbabit dan membantu atau menjadi ahli kepada kumpulan jenayah terancang.

Menurutnya, polis Johor tidak akan bertolak ansur untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit dalam jenayah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 7:10 PM