Habibi Majinji.
Habibi Majinji.
Juwan Riduan


"TIADA sebarang kejadian culik dilaporkan berlaku di Kampung Warisan, Inanam seperti yang tular di media sosial sejak semalam sebaliknya kejadian hanya salah faham," kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati kejadian salah faham itu berpunca daripada dua beradik berusia 9 dan 14 tahun yang berjalan kaki di jalan raya kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, sebuah van berwarna putih yang melalui jalan berkenaan dikatakan berhenti sebelum pemandunya menegur dua beradik terbabit kerana menghalang laluan jalan dan mengarahkan mereka pulang ke rumah.

"Bagaimanapun kanak-kanak perempuan itu terus lari ke rumah dan memberitahu ahli keluarga bahawa adiknya cuba diculik.

"Keluarganya yang panik terus keluar dari rumah untuk memeriksa keadaan, namun kanak-kanak terbabit masih ada dan van berkenaan pula sudah tiada di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kanak-kanak terbabit juga berada dalam keadaan selamat.

Sehubungan itu, Habibi menasihati orang ramai supaya memeriksa sebarang kejadian terlebih dahulu sebelum menularkan sebarang berita di laman sosial bagi mengelak timbul kegusaran awam sehingga boleh mencetuskan huru-hara dan panik terutama dalam kalangan ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:56 PM