LELAKI maut manakala isterinya parah selepas motorsikal yang ditunggang mereka merempuh kereta Perodua Alza di Jalan Politeknik, berhampiran stesen minyak KKIP, di Kota Kinabalu, semalam. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI maut manakala isterinya parah selepas motorsikal yang ditunggang mereka merempuh kereta Perodua Alza di Jalan Politeknik, berhampiran stesen minyak KKIP, di Kota Kinabalu, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Fardy Bungga


LELAKI maut, manakala isterinya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh kereta Perodua Alza di Jalan Politeknik, berhampiran stesen minyak KKIP, di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, penunggang motosikal, Abas Mardasir, 27, dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Manakala, pembonceng motosikal yang juga isteri kepada mangsa, Rafida Abdullah, 24, yang cedera di kepala dan patah tangan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki bergerak dari arah stesen minyak KKIP menuju ke Politeknik Kota Kinabalu.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha yang ditunggang mangsa dipercayai terlanggar bahagian kanan Perodua Alza yang keluar simpang jalan berkenaan.

“Akibat kejadian itu, penunggang yang parah dikejarkan ke HWKKS untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia 3.10 petang.

“Manakala, isteri mangsa turut parah patah tangan dan cedera di kepala, masih dirawat di HQE I,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pemandu dan penumpang Perodua Alza berusia 62 dan 55 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan lanjut kes berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 11:07 AM