Yusmizal Dolah Aling


DEWAN Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 selepas mendapat undian, hari ini.

Ia membolehkan peruntukan tambahan RM45 bilion disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19.

RUU berkenaan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan merangkumi peruntukan ditambah baik dan dinamik.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil langkah sementara untuk menambah baik bantuan kerajaan kepada rakyat.

Menerusi kelulusan itu, had statutori hutang dinaikkan sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 55 peratus pada masa sekarang.

Menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai jumlah peruntukan digunakan, pada masa ini sebanyak RM30.6 bilion disalurkan dan RM25.6 bilion daripada RM45 bilion itu sudah dibelanjakan untuk manfaat rakyat.

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. FOTO Bernama
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. FOTO Bernama

Menerusi kelulusan itu, ia menaikkan had jumlah wang boleh diperoleh mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan jumlah wang boleh diterima di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275), bagi menubuhkan Kumpulan Wang Covid-19.

Selain itu, ia termasuk membenarkan wang itu digunakan untuk program di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi serta peruntukan bagi perkara berkaitan.

Berdasarkan RUU itu, program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja dan bantuan latihan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM16.8 bilion.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 6:53 PM