Syarifah Dayana Syed Bakri


KERAJAAN akan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak menyalurkan subsidi upah kepada pekerja mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya ada menerima maklumat terdapat majikan yang gagal berbuat demikian dan ini secara jelas melanggar syarat ditetapkan kerajaan.

Katanya, bantuan rangsangan ekonomi tidak seharusnya disalah guna malah majikan perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak mengambil kesempatan serta menganiaya pekerja mereka.

"Saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap majikan-majikan ini," katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di Facebook, hari ini.



Menurutnya, Program Subsidi Upah (PSU) adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Tujuan PSU ialah membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 supaya dapat meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja hilang pekerjaan dan punca pendapatan.

Tengku Zafrul berkata, sehingga 19 Jun, sebanyak RM4.89 bilion telah diluluskan bagi 303,596 majikan yang memberi manfaat kepada lebih 2.40 juta pekerja di bawah program itu.

"Saya mengingatkan sekali lagi bahawa dengan penyelarasan Program Subsidi Upah di bawah Penjana, majikan boleh mula membuat permohonan untuk program Subsidi Upah yang telah ditambah baik mulai 15 Jun lalu," katanya.

TENGKU Zafrul. FOTO arkib NSTP
TENGKU Zafrul. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 3:08 PM