Mohamed Farid Noh


MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menafikan dakwaan anggota penguat kuasanya mengasari orang ramai dan menengking mereka sesuka hati seperti ditularkan menerusi video di media sosial sejak 17 Ogos lalu.

Menerusi video 25 saat itu, beberapa anggota penguat kuasa MBJB dilihat bertikam lidah dengan beberapa lelaki dipercayai pemilik dan pekerja premis kenderaan di Jalan Kebun Teh sehingga dikecam netizen.

MBJB dalam kenyataannya berkata, mereka sudah membuat laporan polis terhadap pemilik premis kenderaan terpakai di Jalan Kebun Teh berikutan kesalahan menghalang tugas penjawat awam selain menyebarkan video mengelirukan di laman sosial.

MBJB turut memaklumkan kejadian berkenaan berlaku 17 Ogos lalu kira-kira 10 pagi berikutan satu operasi dijalankannya sekitar Jalan Kebun Teh.

Katanya, operasi itu susulan daripada aduan yang kerap disalurkan orang awam mengenai kesesakan lalu-lintas di sekitar Jalan Kebun Teh.

"Operasi kenderaan yang menghalang laluan diadakan selepas mendapati punca utama kesesakan lalu-lintas disebabkan oleh kenderaan ibu bapa yang mengambil anak pulang dari sekolah selain kehadiran kenderaan jualan yang diletakkan di bahu jalan, rizab jalan, petak parkir hadapan premis dan kawasan persekolahan.

"Operasi ini kerap dijalankan di lokasi berkenaan namun beberapa pemilik pusat jualan kenderaan masih tiada kesedaran dan tidak mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Namun ketika operasi sedang dijalankan, pemilik premis yang tidak berpuas hati dengan tindakan ke atas kenderaan jualannya membuat provokasi serta memaki hamun anggota yang bertugas," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Video pertikaman lidah berkenaan mendakwa tindakan anggota penguat kuasa yang menengking orang awam sebagai tidak wajar dan menyalahi etika kerja.

Bagaimanapun, beberapa netizen menyokong tindakan tegas anggota penguat kuasa berkenaan berikutan mendakwa masalah di situ sudah terlalu lama dibiarkan bermaharajalela.

Mengulas lanjut, MBJB berkata, dalam operasi berkenaan sebanyak 14 kompaun dikeluarkan dan empat kenderaan ditunda di bawah peruntukan Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan dan Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MBJB 1981 Pindaan 2014 (6)(i)(g).

"Kenderaan yang ditunda ketika operasi berkenaan dihantar ke stor MBJB dan tuntutan kenderaan adalah dibenarkan.

"Namun dengan syarat pemilik perlu membuat surat akuan sumpah untuk berjanji tidak melakukan kesalahan sama kerana pemilik kerap melakukan kesalahan sama walaupun tindakan dibuat dan peringatan sudah diberikan beberapa kali.

"Penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berterusan termasuklah atas kesalahan berniaga tanpa lesen dan pelan ubah tambah bangunan tanpa kelulusan serta apa jua kesalahan yang dibuat bertentangan dengan Undang-Undang MBJB," katanya.

VIDEO yang tular menunjukkan pertengkaran antara penguat kuasa MBJB dengan pemilik premis kenderaan terpakai. FOTO tular media sosial
VIDEO yang tular menunjukkan pertengkaran antara penguat kuasa MBJB dengan pemilik premis kenderaan terpakai. FOTO tular media sosial

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 12:37 PM