Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Selangor percaya insiden pencemaran bau di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang adalah usaha berterusan untuk menyerang pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan yang seolah disengajakan itu memberi imej buruk kepada pentadbiran kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, kita akan terus melawan dan meningkatkan usaha mengekang pencemaran sumber air.

"Sekarang, mereka (pencemar sungai) adalah musuh utama dan jangan mereka sangka bahawa dengan kaedah ini, mereka boleh melunturkan imej kerajaan negeri," katanya selepas perasmian Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) Yayasan Hijrah Selangor di Bangunan SUK Selangor, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan dengan bantuan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, beliau berharap polis dan beberapa pihak berkaitan sama-sama membantu kerana bidang kuasa kerajaan negeri terhad.

"Pencemar sumber air juga seperti sudah tahu modus operandi kawalan kita justeru kita akan terus mempertingkatkan lagi dengan kawalan dron dan teknologi yang saya sebutkan sebelum ini.

"Kita yakin akan dapat tangani secara menyeluruh masalah ini dalam tempoh 15 hingga ke 18 bulan," katanya.

Terdahulu pada Selasa, empat Loji Rawatan Air (LRA) SSP 1, 2, 3 serta Rantau Panjang di sini, terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor sekitar 12.20 hingga 12.45 tengah hari.

Sementara itu, semalam media melaporkan polis menemui 40 tong berisi 4,000 liter bahan buangan berjadual di dalam premis disyaki menjadi punca pencemaran di loji IWK di Taman Velox, Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe dilaporkan berkata, premis itu terletak di Jalan Velox 2, kira-kira 300 meter dari loji itu dan bahan buangan dijumpai itu masih belum dilupuskan.

AMIRUDIN ditemui media selepas perasmian Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) Yayasan Hijrah Selangor di Bangunan SUK Selangor. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN ditemui media selepas perasmian Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM) Yayasan Hijrah Selangor di Bangunan SUK Selangor. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 5:57 PM