GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


DALAM usaha mengekang gejala rasuah dan salah laku dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT), satu Suruhanjaya Pekerja Kerajaan Tempatan akan ditubuhkan dengan kaedah penggiliran penguat kuasa antara PBT.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kaedah itu bagi membendung unsur salah laku dan rasuah dalam kalangan penguat kuasa PBT yang kini menjadi 'buah mulut' orang ramai.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam usaha untuk memperkenalkan Suruhanjaya Pekerja Kerajaan Tempatan. Jadi dengan adanya suruhanjaya ini membolehkan PBT 'rotate' pegawai melalui 'inter-PBT.'

"Jadi ini antara cara kita selesaikan masalah ini (rasuah dan salah laku) dan juga tingkatkan lagi prestasi mereka dan pengalaman bagi membolehkan pendedahan lebih luas dengan bertukar-tukar PBT selain mendapat pendedahan dan ilmu baru," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kebun Komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini.

Zuraida berkata, kaedah baharu melalui sistem penggiliran penguat kuasa antara PBT dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Ditanya berhubung rasuah yang dilakukan penguat kuasa PBT, Zuraida berkata, rasuah boleh diambil tindakan sekiranya oang ramai tampil membuat aduan kepada pihak berkaitan.

"Ada aduan kemudian mereka (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan siasat, kita tidak boleh suka hati pergi sana dan beritahu semua orang mengambil rasuah.

"Kita juga sudah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan negeri bagi tujuan pelaksanaan sistem giliran ini," katanya.

ZURAIDA (tengah) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) melakukan gimik perasmiam dengan menanam sawi. FOTO Aswadi Alias
ZURAIDA (tengah) bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) melakukan gimik perasmiam dengan menanam sawi. FOTO Aswadi Alias

Sementara itu, Zuraida berkata, berhubung perobohan beberapa gerai haram di Sungai Buloh, hasil siasatan pihaknya mendapati ia dilakukan oleh peniaga sendiri bagi mengelak dikenakan tindakan atau saman.

"Pemilik gerai sendiri yang robohkan kerana mereka melihat tindakan saman dikeluarkan kepada peniaga haram menyebabkan mereka takut dan merobohkan sendiri gerai mereka, ia bukan dirobohkan oleh MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam)," katanya.

Ditanya berhubung tindakan terhadap pemilik gerai haram di seluruh negara, Zuraida berkata, KPKT akan menangani isu itu melalui PBT yang sememangnya mempunyai kuasa untuk melaksanakannya.

"Pada dasarnya kalau dah ada gerai haram dan mereka sudah berniaga bertahun-tahun dan tindakan tidak boleh diambil bermakna penguatkuasaan itu lemah.

"Apabila sudah buat dan jadi huru hara walhal perkara ini tidak betul, jadi mereka (PBT) ambil kaedah beri mereka amaran, notis, dan masa sehingga tiga bulan.

"Masa diambil itu membolehkan PBT mengenalpasti lokasi strategik untuk menempatkan mereka atau peniaga sendiri boleh cari tempat mereka berminat dan mohon dengan PBT untuk dapat kelulusan," katanya.

Zuraida berkata, itu antara kaedah diambil mereka dan tidak terus merobohkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 1:15 PM