FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu

berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepanjang tempoh sama SPRM turut menerima 286 maklumat dan 22 aduan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Menurutnya, dalam kes pertama, dua warga Pakistan ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

“Manakala dalam kes kedua, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai merasuah pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran.

“Kedua-dua kes terbaharu ini menunjukkan aktiviti haram seperti penyeludupan terus berlaku selain terdapat premis perniagaan dibuka tanpa kebenaran walaupun dalam tempoh PKP berkuatkuasa. Perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti ini secara tidak langsung turut mendorong kepada perbuatan rasuah,” katanya.

Katanya, dalam hal ini, SPRM merakamkan syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa di barisan hadapan kerana ketegasan ditunjukkan terhadap penjenayah dan perasuah.

“Ingin ditegaskan bahawa SPRM akan terus menjalankan siasatan walaupun dalam keadaan terbatas dengan berpandukan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan.

“Demi kepentingan pihak terbabit, pejabat SPRM di seluruh negara tetap dibuka dan terdapat pegawai ditugaskan secara bergilir-gilir dengan bilangan minimum bagi mengambil tindakan terhadap maklumat diterima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 3:07 PM