GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


JABATAN Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menyita dua kilang ais, 29 mesin jual air (MJA) dan sebuah premis perniagaan air minuman berbungkus (AMB) selepas didapati tidak mempunyai lesen menerusi operasi bermula 21 hingga 23 Julai lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, Ops Lesen dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara serentak di seluruh Selangor.

"Sebanyak 17 kilang ais, 35 MJA dan tiga premis perniagaan AMB diperiksa sepanjang operasi dijalankan dan hasil pemeriksaan kita mendapati dua kilang ais, 29 MJA dan satu premis AMB tidak mempunyai lesen seterusnya diambil tindakan disita.

"Selain itu, sebanyak tujuh notis 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 sudah dikeluarkan kepada pemilik kilang ais," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, semua MJA yang tidak berlesen disita dan diberikan notis mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (PPM) iaitu perdagangan atau perniagaan tidak boleh mengambil air mineral semula jadi, air minuman dari mana-mana punca serta tiada seorang pun boleh mengendalikan mesin jual air atau menyediakan ais dari mana-mana sumber melainkan memperolehi lesen dari Pengarah .

Katanya, amaran dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pemilik premis membenarkan pemilik MJA menggunakan utiliti seperti bekalan elektrik dan air untuk terus beroperasi tanpa lesen.

"MJA yang disita akan dipantau oleh PKD dan sekiranya tiada tindakan susulan yang diambil oleh pemilik MJA untuk memohon lesen perniagaan dalam tempoh yang diberikan, tindakan pelupusan akan diambil.

"Bagi premis AMB yang mendapat penilaian tahap kebersihan yang rendah, arahan tindakan penambahbaikan dan notis kompaun di bawah Seksyen 32B PPKM 2009 juga sudah diberikan," katanya.

Dr Sha'ari berkata, JKNS sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan dan penipuan dalam pengilangan dan penjualan produk makanan kepada pengguna.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang berterusan akan dilakukan bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan di negara ini adalah terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 11:48 AM