AMBRIN (kanan) hadir sebagai saksi bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
AMBRIN (kanan) hadir sebagai saksi bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
BERNAMA

BEKAS Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau diminta oleh bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa supaya pendapatnya dalam laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikeluarkan daripada laporan itu.

Saksi keenam pihak pendakwaan itu berkata, Ali membuat permintaan berkenaan semasa mesyuarat penyelarasan Laporan Audit 1MDB, yang diadakan atas arahan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 Februari 2016.

"Ia sukar, ia (permohonan) hampir seperti arahan daripada (bekas) Ketua Setiausaha Negara (Ali) untuk mengeluarkan pendapat saya daripada laporan saya sendiri (laporan audit 1MDB).

"KSN mahu memastikan pendapat kami (Jabatan Audit Negara (dalam laporan audit 1MDB) dikeluarkan," katanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk N Sivananthan yang mewakili bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Ambrin memberi keterangan dalam perbicaraan Najib, 67, yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang sudah 'dimuktamadkan' oleh Ketua Audit Negara sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya, manakala Arul Kanda, 44, dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan terbabit daripada dikenakan tindakan disiplin, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam mesyuarat penyelarasan dipengerusikan Ali, terdapat empat isu dipersetujui dikeluarkan daripada laporan audit 1MDB, termasuk dua versi bercanggah dalam laporan kewangan 2014 syarikat itu.

Pada 16 Jun lalu, Ali, yang juga saksi keempat pihak pendakwaan dalam keterangannya berkata, beliau dan Arul Kanda tidak pernah mendesak atau mengugut Ambrin untuk meminda laporan audit 1MDB.

Kepada soalan Sivananthan, Ambrin, 70, yang kini pesara, berkata beliau tidak suka dengan idea Arul Kanda diberi peluang meneliti setiap muka surat laporan audit 1MDB.

Sivananthan: Anda rasa terhina bahawa anak guam saya telah diberi peluang meneliti setiap muka surat (laporan audit 1MDB), bagaimanapun, apa juga yang disyorkannya, masih terpulang kepada anda untuk pertimbangkan syor itu atau tidak?

Ambrin: Tetapi saya tidak suka tentang audit kami diteliti muka surat demi muka surat, perenggan demi perenggan, laporan saya (laporan audit 1MDB) dan saya tidak suka perkara itu sebab saya fikir ia tidak beretika.

Semasa pemeriksaan semula oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi itu berkata, laporan audit 1MDB berkenaan adalah versi yang sudah dimuktamadkan untuk dibentangkan pada PAC ketika beliau menghadiri mesyuarat dengan Najib di pejabat bekas perdana menteri itu pada 22 Februari 2016.

Sri Ram: Najib minta supaya tidak dimasukkan dua penyata kewangan 1MDB yang bercanggah dalam laporan audit, adakah itu berlaku (dalam mesyuarat pada 22 Februari)?

Ambrin: Beliau tidak mengarahkan saya, ia hanya cadangan. Keputusan muktamad untuk menggugurkannya (dua penyata kewangan) dibuat selepas saya mendapat kepastian daripada Ali bahawa laporan polis akan dibuat berhubung perkara itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 24 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 5:43 PM