Jenazah ibu Achey selamat dikebumikan. FOTO Instagram Achey
Jenazah ibu Achey selamat dikebumikan. FOTO Instagram Achey
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak Mohd Nasir Hamzah, 35, atau Achey tidak menyangka pusara ibu tercinta, Ngaisah Hassan, 74, yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Usaha Jaya, Labis, Johor, semalam bersebelahan dengan arwah bapanya, Hamzah Salam.

Achey ketika dihubungi berkata, dia menganggap ia sebagai rezeki arwah ibunya, malah seluruh ahli keluarga berasa cemburu ketika proses pengebumian dilakukan.

"Sebulan selepas arwah abah pergi mak memang pernah beritahu kalau boleh nak kuburnya bersebelahan dengan arwah abah.

"Jika diikutkan dalam tempoh setahun sebulan arwah abah pergi terdapat tiga kematian, tapi tak tahu kenapa ketiga-ketiga jenazah tidak dikebumikan bersebelahan kubur abah sehinggalah ke akhir hayat mak.

"Memang rezeki mak dapat bersebelahan dengan kubur abah. Kami semua cemburu waktu dia dikebumikan. Walaupun kami semua tak nampak wajahnya ketika proses pengebumian dilakukan, tapi kita dapat rasakan dia ibarat sedang duduk 'dating'. Harapnya mereka bertemu di syurga.

"Kami adik-beradik bersyukur kerana segala urusan sehingga proses pengebumian berjalan dengan mudah. Orang nak datang melawat pun senang," kata anggota kumpulan Bochey itu.

Menurut Achey, meskipun tidak berada di sisi arwah pada saat akhir, namun dia dan seluruh adik-beradik berpuas hati apabila dapat menjaga ibunya dengan baik selama ini.

"Pada mulanya memang rasa tak seronok apabila tak dapat bersama arwah. Tapi bila saya kenang semula, saya sudah cuba sehabis baik berbakti dengannya. Malah adik-beradik lain juga berpuas hati dapat menjaga arwah dengan baik.

"Alhamdulillah walaupun tak dapat berada di sebelahnya, namun kami memberi ruang kepada kakak dan adik-beradik perempuan yang lain menjaga mak. Memang mak sendiri nak anak perempuan yang menjaganya.

"Saya berasa bangga dikurniakan seorang ibu yang sangat hebat. Saya puas kerana dapat berbakti kepadanya walaupun apa yang sudah dia lakukan tidak mampu dibalas. Namun sekurang-kurangnya kita dapat balas jasa baiknya," katanya.

Dalam masa sama, Achey turut bersyukur apabila arwah dijemput Ilahi pada 10 malam terakhir Ramadan.

Terdahulu, Ngaisah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor, awal pagi semalam selepas hampir dua tahun menderita penyakit kanser pankreas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 6:30 AM