KETUA Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Haris Hussin (dua dari kiri), 39, melawat  Esah  yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu akibat angin ahmar.
KETUA Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Haris Hussin (dua dari kiri), 39, melawat Esah yang terlantar sakit sejak tiga tahun lalu akibat angin ahmar.

Kota Bharu: Walaupun terpaksa berjauhan dengan suami dan hidup susah, namun wanita tabah ini sanggup berkorban menjaga ibunya yang terlantar menghidap angin ahmar dan darah tinggi sejak tiga tahun lalu.

Lebih menyedihkan, Rosnani Mat Hassan, 36, bersama ibu dan enam anak berusia tiga hingga 13 tahun terpaksa berhimpit bersama tujuh ahli keluarga lain iaitu abangnya, Sudin, 45, bersama isteri serta tiga anak dan adik Mohd Rosdi, 29, bersama isteri dan anak tunggal mereka turut tinggal sebumbung kerana tiada tanah dan rumah lain untuk berteduh.

Rosnani berkata, dia tinggal bersama ibu, Esah Idris, 65, sejak kecil dan selepas berkahwin terus menetap di rumah itu kerana tiada rumah lain untuk berteduh.

Menurutnya, suaminya Malik Yunus, 40, yang sakit mental hanya dapat ditemui setiap tiga bulan kerana terpaksa menjalani rawatan di kampungnya di Kuala Krai.

“Akibat kesulitan hidup, saya mengambil keputusan tinggal bersama ibu dan berjauhan dengan suami kerana suami perlu menjalani rawatan di kampung sejak mula berkahwin.

“Namun, saya reda kerana mahu menjaga ibu yang terlantar sejak tiga tahun lalu akibat darah tinggi dan angin ahmar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Pisang Jalan Pantai Cahaya Bulan.

Katanya, ibunya tidak mampu bergerak dan bercakap dan perlu diuruskan sebaik mungkin termasuk makan, minum dan mandi.

“Ibu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lalu, namun wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas.

“Bagaimanapun, kesusahan hidup tidak pernah membataskan saya untuk terus menjaga ibu dan tinggal di rumah pusaka yang uzur bersama anak-anak serta dua adik-beradik lain,” katanya.

Sementara itu, Sudin berkata, dia sekeluarga terpaksa tinggal di rumah itu kerana tidak mampu menyewa rumah lain.

“Dengan pendapatan RM500 sebulan, saya terpaksa mengambil keputusan tinggal bersama ibu selain mudah untuk menjaganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:08 AM