SUKARELAWAN USIM melakukan semburan sanitasi nyah cemar di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
SUKARELAWAN USIM melakukan semburan sanitasi nyah cemar di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


SERAMAI 60 kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai melaksanakan program sanitasi awam nyah cemar kuman di enam lokasi terpilih termasuk rumah anak yatim bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan) USIM Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin berkata, ia inisiatif bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada komuniti.

Katanya, lokasi itu termasuk Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA) Senawang manakala yang lainnya ialah Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Sahabat Insani, Surau At-Taqwa Desa Anggerik, Surau Raudhah Al Mukhlisin Desa Jati, Surau Muhajirin Desa Kasia dan Surau Al Mahabbah Desa Indah di Nilai.

"Program sanitasi ini dibuat bagi membantu proses pemulihan komuniti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kita juga berharap program ini dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga USIM," katanya selepas selesai program sanitasi berkenaan di Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina Senawang, di sini, hari ini.

Mohd Yahya berkata, setiap daripada sukarelawan dibekalkan alatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka dan cecair sanitasi disediakan oleh Fakulti Sains dan Teknologi USIM.

Menurutnya, kerja sanitasi dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Pusat Kesihatan Universiti bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan sentiasa dititikberatkan.

"Kami juga turut menyerahkan sumbangan lima kotak pelitup muka dan lima botol cecair pembasmi kuman kepada setiap lokasi," katanya.

Terdahulu, pelepasan peserta sukarelawan terbabit dilakukan Naib Canselor USIM, Profesor Dr Mohamad Ridza Wahiddin di pekarangan Bangunan Canselori USIM di Nilai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 4:12 PM