PESERTA Nocturnal Run 3.0 menunjukkan pingat yang diterima selepas menamatkan larian. FOTO ihsan USIM
PESERTA Nocturnal Run 3.0 menunjukkan pingat yang diterima selepas menamatkan larian. FOTO ihsan USIM
Ifwan Tun Tuah


HAMPIR 1,500 peserta terdiri daripada penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta penduduk kawasan sekitar universiti itu, menyertai program 'Nocturnal Run 3.0' di kampus itu, Bandar Baru Nilai, malam tadi.

Larian sejauh lima kilometer itu turut disertai Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz selain Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad serta pengurusan kanan universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, larian bermula 9 malam itu adalah acara tahunan sempena Pesta Konvokesyen (CFEST) USIM dalam usaha mempromosikan riadah sihat.

“Kita gembira kerana program ini menjadi platform untuk mempromosikan acara sepanjang CFEST dan ia mendapat sambutan daripada penuntut serta penduduk kawasan Bandar Baru Nilai.

“CFEST adalah acara tahunan sempena Majlis Konvokesyen USIM yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di Bandar Baru Nilai, hari ini.

Beliau berkata, Majlis Konvokesyen USIM kali ke-16 akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor USIM dari Selasa hingga Khamis ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelbagai acara diatur sepanjang CFEST termasuk pesta jualan dan pameran, forum, sukan, bedah buku dan kebudayaan.

Antara acara menarik lain ialah persembahan ‘flashmob’ ‘Boycott, Divestment & Sanction’; pertandingan sukan elektronik Mobile Legends; Battle Amal of The Band; Bicara Graduan; Malam Kesukarelawanan USIM serta Malam Muzikal Kemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:37 PM