HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Amanina Suhaini


HOSPITAL Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru antara tiga hospital kerajaan yang masih dalam proses permohonan Sijil Perakuan Bomba (FC).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahya Madis berkata, secara keseluruhan, pihaknya menjalankan pemeriksaan di kesemua 10 hospital kerajaan di Johor yang mana tujuh daripadanya sudah memiliki sijil FC.

Katanya, sijil itu penting bagi mengurangkan dan mengatasi kebakaran membabitkan bangunan kerajaan di negeri ini.

Menurutnya, pada masa sama, perkara asas juga perlu dipatuhi seperti mempunyai Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di premis sebagai langkah berdepan dengan kebakaran serta kecemasan termasuk laluan utama tidak dihalang.

DATUK Yahaya Madis bersama pegawai dan anggota bomba bergotong royong memotong daging korban sempena  Majlis Korban Perdana JBPM Johor di Ibu Pejabat JBPM Johor. FOTO Zain Ahmed
DATUK Yahaya Madis bersama pegawai dan anggota bomba bergotong royong memotong daging korban sempena Majlis Korban Perdana JBPM Johor di Ibu Pejabat JBPM Johor. FOTO Zain Ahmed

"Sebelum bangunan itu beroperasi, mereka perlu ada Sijil Kelulusan Menduduki (CF) yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kemudiannya perlu membuat permohonan untuk FC pula.

"Majoriti bangunan semua ada CF, tapi FC yang tidak ada, jadi bomba akan bagi notis Penghapusan Bahaya Kebakaran untuk mereka (premis) mematuhinya selain permohonan dan kelulusan mendapatkan FC memakan masa bagi tempoh maksimum dua tahun.

"Sejumlah 2,530 premis bangunan kerajaan dan swasta di negeri ini ditetapkan perlu memiliki FC mengikut Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 2,013 premis bangunan kerajaan dan swasta sudah ada FC. Baki 517 premis itu masih dalam proses permohonan atau sudah menerima notis memberitahu tentang keperluan yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan FC," katanya pada sidang media program ibadah korban dengan kerjasama Penggerak Komuniti Negara (PKN) Parlimen Johor Bahru di Ibu Pejabat Bomba Johor, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, premis diwajibkan memiliki FC mengikut Seksyen 33 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) membabitkan sembilan kategori premis iaitu perpustakaan, hospital dan rumah rawatan, hotel, asrama, pejabat, kedai, kilang, tempat perhimpunan serta stor.

Katanya, sekiranya premis ditetapkan tidak memiliki FC, ia melakukan satu kesalahan dan jika disabitkan, boleh didenda sehingga RM50,000.

Pada 28 Jun lalu, Wad Perubatan Perempuan HSA terbakar kira-kira jam 3 petang, namun tidak membabitkan kecederaan dan kematian.

Namun, pada 25 Oktober 2016, tingkat dua unit rawatan rapi selatan HSA terbakar hingga mengakibatkan enam pesakit terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 2:50 PM