PDRM bersama MPPD melakukan operasi pematuhan SOP di sekitar Port Dickson. FOTO Ihsan Polis.
PDRM bersama MPPD melakukan operasi pematuhan SOP di sekitar Port Dickson. FOTO Ihsan Polis.
Mohd Khidir Zakaria


DALAM tempoh enam hari, 31 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di kawasan peranginan, Port Dickson (PD).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kompaun dikeluarkan bermula 25 Julai hingga 30 Julai lalu ketika pemeriksaan terhadap individu di premis perniagaan dan kawasan pantai.

Katanya, kompaun turut dikeluarkan ke atas dua lelaki yang minum arak hingga mabuk di tepi pantai Sunshine Bay di Jalan Pantai.

"Operasi dijalankan di kawasan menjadi tumpuan orang ramai terutama pada hujung minggu antaranya di bandar PD, Lukut dan Teluk Kemang.

"Ada kelemahan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama kawalan penjarakan fizikal di kawasan dihadiri orang ramai pada satu-satu masa. Kompoun dikenakan serta-merta bagi yang melanggar arahan.

"Bagaimanapun, kami bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain berkaitan masih meneruskan program mendidik masyarakat supaya patuh kepada SOP mencegah Covid-19 sehingga 31 Ogos ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aidi Sham berkata, ketika ini notis dikeluarkan bagi aktiviti dibenarkan dan tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPP bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam, antaranya aktiviti perkelahan yang tidak boleh melebihi 10 orang dalam satu kumpulan.

"Selain itu larian, berbasikal, aktiviti mandi laut, kemudahan tandas awam dan surau dibenarkan, yang semua notis dikeluarkan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

"Bagaimanapun larangan terhadap aktiviti perkhemahan yang bermalam di kawasan pantai, program keraian seperti hari keluarga, majlis perkahwinan, perhimpunan, aktiviti berkayak, 'jet ski', 'banana boat', kapal persiaran, aktiviti selaman, aktiviti penggambaran filem/iklan/gambar perkahwinan dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 10:37 AM