Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


ELAKKAN berhimpun secara besar-besaran. Itu nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada orang ramai ketika menyambut Aidiladha esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) dibangunkan bagi membolehkan sambutan diraikan dengan normal baharu.

Katanya, KKM juga ingin menekankan bahawa pemakaian alat pelitup muka di tempat yang sesak dan sempit, terutama sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan.

"Namun begitu, harus diingatkan bahawa ketiga-tiga SOP, iaitu penjarakan fizikal, kebersihan tangan dan pemakaian pelitup hidung adalah amat penting dan harus diamalkan selalu.

"Berhati-hatilah di jalan raya dan patuhilah arahan pihak berkuasa ketika memandu.

"Jika singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), pastikan patuhi SOP yang ditetapkan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut menasihatkan mereka yang menggunakan pengangkutan awam supaya mengikuti SOP yang ditetapkan dan memakai pelitup muka.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi bersama-sama oleh setiap lapisan dan kategori masyarakat.

"Dengan kerjasama orang ramai, kita boleh mengelakkan daripada berlakunya sebarang penularan Covid-19 semasa perayaan ini," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sejumlah 69 kluster tamat tempoh pengawasan dan pemantauan hari ini.

Katanya, kluster Bukit Bintang juga tamat pengawasan membabitkan 11 kes dilaporkan iaitu satu warga Malaysia dan 10 bukan warganegara.

"Tiada kematian dicatat dalam kluster Bukit Bintang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 6:06 PM