MOHD AJIB ISMAIL
MOHD AJIB ISMAIL
Yusmizal Dolah Aling


WAKTU solat sunat Aidiladha bagi masjid, surau dan surau Jumaat di zon hijau dan kuning di Wilayah Persekutuan ditetapkan pada 8 pagi Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata, bagi Labuan, solat sunat berkenaan akan diadakan pada 7.30 pagi.

Katanya, jemaah perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi antaranya penjarakan sosial satu meter, memakai pelitup muka dan membawa sendiri sejadah bersaiz besar.

"Bawa kad pengenalan bagi memastikan hanya warganegara saja yang dibenarkan (menunaikan solat sunat) dan buat pemeriksaan suhu badan bagi setiap jemaah.

"Mereka juga perlu berwuduk di rumah dan tidak bersalaman atau bersentuhan selain mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan penganjuran majlis berbuka puasa iftar sempena puasa Hari Arafah di masjid dan surau.

Katanya, Hari Arafah pada tahun ini ditetapkan pada esok dan antara amalan yang dituntut adalah berpuasa dan memperbanyakkan doa.

"Jawi menggalakkan pelaksanaan majlis ini, namun tertakluk kepada kemampuan ahli jawatankuasa masjid, surau Jumaat dan surau dengan mengambil kira pematuhan SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 9:12 PM