Zuliaty Zulkiffli


AMBIL dadah untuk tangkap ikan. Itu antara alasan nelayan yang ditahan dalam serbuan polis di bot nelayan di tengah laut di kawasan perairan Kuala Kedah, dekat Alor Setar, semalam.

Dalam serbuan Ops Rintis bermula 8 pagi itu, seramai 80 individu yang sebahagian besarnya terdiri daripada nelayan ditahan kerana terbabit penyalahgunaan dadah.

Ketika serbuan, mereka tidak sempat melarikan diri apabila bot mereka dihampiri untuk pemeriksaan.

Operasi dilakukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan dibantu Polis Marin Wilayah Utara yang berpangkalan di Kuala Kedah.

Seorang nelayan yang dikenali sebagai Pak Ndak, 62, berkata, ini kali ketiga dia ditahan polis kerana terbabit dengan dadah yang mana kali pertama ditahan di Kuala Lumpur dan dua kali di Kuala Kedah.

Menurut datuk yang mempunyai dua cucu itu, dia mula mengambil dadah jenis heroin sejak berusia 18 tahun dan ketagihan itu tidak dapat dihentikan kerana dadah sudah 'sebati' dengan dirinya.

"Saya ambil dadah hanya untuk hilangkan tension (tekanan) dan cuba untuk berhenti tetapi payah sebab kalau tak dapat, badan saya menggigil.

"Saya beli daripada pengedar di kawasan Kuala Kedah dengan harga RM50 satu pek untuk bekalan ketika bekerja di tengah laut," katanya ketika ditemui, semalam.

Pak Ndak berkata, disebabkan turun ke laut selama tiga atau empat hari, dia memerlukan tenaga berlebihan dan mengambil dadah untuk memberi tenaga berpanjangan selain menghilangkan mabuk laut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, empat kes kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Selain itu, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952 (masing-masing satu kes)," katanya.

Selain itu katanya, bagi mereka yang memiliki dadah pula, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Jumlah tangkapan urin pula seramai 64 orang dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) ADB 1952.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 22.42 gram heroin, 2.29 gram syabu, 500 mililiter (ml) air ketum, 12 ml ubat batuk dan 120 ml cecair metadon dirampas," katanya.

ANTARA nelayan yang diperiksa dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan Polis
ANTARA nelayan yang diperiksa dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan Polis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 10:19 AM