Baharom Bakar


TIADA sebab pembekal dan peniaga menaikkan harga pelitup muka melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan iaitu RM1.20 sekeping berkuat kuasa 15 Ogos depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pembekal dan peniaga sudah diberi tempoh panjang serta mencukupi untuk menurunkan harga daripada RM1.50 kepada RM1.20 sekeping.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengambil pelbagai pendekatan bagi mengelakkan kerugian ditanggung pembekal dan peniaga jika mengarahkan harga barangan itu diturunkan dengan kadar segera.

"Selepas mengambil kira pelbagai perkara termasuk alasan diberikan pembekal dan peniaga yang mungkin mengekalkan harga pelitup muka untuk menghabiskan stok sedia ada, kerajaan bersetuju menguatkuasakan penurunan bahan itu mulai 15 Ogos depan.

"Pembekal dan peniaga gagal menurunkan harga selepas tempoh itu bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 kerana menjual barang kawalan melebihi harga maksimum," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Merdeka @ Komuniti 2020, anjuran Jabatan Penerangan di Pasar Besar Kuala Berang, Kuala Berang, hari ini.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, bagi memastikan pembekal dan peniaga mematuhi penurunan harga ditetapkan, pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan operasi serta mengambil tindakan jika masih terdapat peniaga menjualnya dengan harga RM1.50 sekeping.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan semua barangan keperluan asas mencukupi jika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan kes Covid-19 termasuk di Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 3:55 PM