Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: Dua beradik hanya berpandukan rujukan Google dan YouTube untuk menghasilkan model pesawat mini yang boleh diterbangkan dengan alat kawalan jauh.

Muhammad Haikal Moktar, 22, dan abangnya, Muhammad Aliff Asyraf, 26, mengambil masa sebulan untuk menghasilkan enam model pesawat itu.

Pesawat berkenaan pula diinspirasikan daripada pesawat tempur Perang Dunia Kedua, jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain pesawat ringan seperti Piper Cherokee.

Semuanya diberi nama B-Box, Thunderbolt, Interceptor, MS-225 dan SkyWalker.

Muhammad Haikal berkata, idea pembikinan model pesawat itu cetusan mereka bersama bagi mengisi masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April lalu.

"Kami gemar mengumpul permainan alat kawalan jauh, malah ketika kecil, kami pernah menghasilkan rekaan bot yang mampu bergerak menggunakan bateri.

"Idea ini muncul bagi menghilangkan bosan ketika PKP sebelum kami membuat pesanan material dan komponen elektronik untuk menghasilkan pesawat itu melalui platform membeli belah atas talian," katanya.

Menurut penuntut jurusan Bioteknologi Makanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu, mereka menggunakan bahan asas seperti polyfoam, kotak serta botol plastik.

"Rekaan saya menggunakan bahan asas polyfoam berketebalan lima milimeter manakala abang pula menggunakan bahan kitar semula seperti kotak dan botol plastik.

"Bagi menggerakkan fungsi terbangnya, kami menggunakan transmitter receiver 2.4GHz serta bateri lithium polymer 11.1 Volt," katanya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

MUHAMMAD Haikal (kiri) dan abangnya Muhammad Aliff bersama pesawat rekaan mereka. FOTO IHSAN MUHAMMAD HAIKAL
MUHAMMAD Haikal (kiri) dan abangnya Muhammad Aliff bersama pesawat rekaan mereka. FOTO IHSAN MUHAMMAD HAIKAL

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 7:00 AM