Antara dadah yang dirampas daripada seorang lelaki di kawasan flat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam. (Gambar kecil) Zairulnizam.
Antara dadah yang dirampas daripada seorang lelaki di kawasan flat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam. (Gambar kecil) Zairulnizam.
Muhaamad Hafis Nawawi

TOKAN dadah yang baru sebulan disyaki mengedar dengan mensasarkan penduduk di kawasan flat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang menerima maklumat menahan lelaki berusia 28 tahun di bawah blok flat itu pada 5.45 petang.

Hasil pemeriksaan terhadapnya, polis menemui methamphetamine serta Erimin 5 bernilai RM55,350.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, polis merampas dadah methamphetamine seberat 1,020 gram bernilai RM40,350 dan 100 keping kertas timah disyaki Erimin 5 seberat 265 gram bernilai RM15,000.

Menurutnya, semakan juga mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah THC atau tetra hydrocannibol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, suspek direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

"Polis juga sedang mengesan seorang lagi lelaki dipercayai pembekal dadah kepada suspek.

"Orang awam diingatkan tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang membabitkan dadah kerana polis Brickfields sangat komited dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di mana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil jika disabitkan kesalahan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah boleh menyalurkannya kepada pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 3:29 PM