DATUK Zainuddin Yaacob ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Zainuddin Yaacob ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


KERUGIAN akibat penipuan Macau Scam di Kedah mencecah RM1.9 juta dalam tempoh enam bulan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah itu membabitkan 94 kes penipuan yang mangsanya terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan profesional.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 23 individu terdiri daripada rakyat tempatan berjaya ditahan.

"Daripada jumlah itu, sembilan daripadanya dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan siasatan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjawab sebarang panggilan daripada nombor telefon yang tidak dikenali untuk mengelakkan diri menjadi mangsa Macau Scam," katanya.

Beliau berkata, sekiranya orang awam melayan panggilan mereka, sindiket itu boleh membaca gerak geri mangsa dan dari situ sindiket terbabit akan mencari helah untuk memperdaya mangsa.

"Malah kita baru mengesan taktik baru digunakan suspek iaitu pergi dari rumah ke rumah untuk mencari mangsa terutama yang tinggal seorang diri seperti warga emas.

"Sindiket ini akan menyamar sebagai pegawai kerajaan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PDRM dan banyak lagi untuk meyakinkan mangsa," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kedah, di Alor Setar

Zainuddin berkata, kebanyakan kes penipuan Macau Scam ini berlaku di kawasan bandar raya.

Terdahulu, Zainuddin meraikan Media Kedah bersama pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah sebelum bertukar ke Bukit Aman, bulan depan.

Beliau akan menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 7:44 PM